Hidup kita memang selalu dipenuhi dengan gurau senda dengan orang di sekeliling, biasanya kawan-kawan. Mana ada orang yang bergurau dengan dirinya sendiri, betul tak? Gila namanya tu. Maknanya, bila kita bergurau senda, secara tak langsung ia akan melibatkan perasaan orang lain yang mendengar gurauan kita. Biasanya, orang bergurau untuk menceriakan suasana. Takkan nak buat muka serius sepanjang masa. Macam kebanyakan orang mengatakan, “DON’T WORRY BE HAPPY”
Tapi, mari kita teliti, apa yang selalu ada dalam sesebuah gurauan? Lawak yang direka-reka, cerita yang dibuat-buat, perli memerli dan kata mengata antara satu sama lain. Itu antara yang biasa kita temui. Jarang sekali orang bergurau tapi dalam masa yang sama dia tak menipu. Tak sah kalau bergurau, dia tak mengata-ngata (secara bergurau) kat orang lain. Tapi sebenarnya dalam gurauan ada batasannya. Sebagai umat Islam kita seharusnya berpegang kepada prinsip “Ar-Rasul Qudwatuna” dalam kehidupan kita.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya:
“Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah!”.
(Riwayat Abu Daud)
Kebanyakan kita menganggap gurauan adalah perkara biasa. Ada juga yang menyangka menipu dibolehkan ketika bergurau sebab tak membahayakan orang di sekeliling kita dan merasakan apa yang kita guraukan hanya mainan semata-mata, bukan betul-betul, dan bukan niat untuk betul-betul berbohong.
Betulkah persepsi macam ni?
Perunding motivasi, Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata bergurau adalah sebahagian daripada fitrah manusia yang perlu dipenuhi.Bergurau bertujuan untuk mendapat kerehatan dan menghilangkan rasa kelesuan. Ia adalah keperluan hati bagi meringankan tekanan yang dihadapi seseorang.
Rasulullah turut bergurau dengan sahabat dan isterinya, namun cara baginda bergurau penuh dengan hikmah dan memberi kesan. Maka bergurau perlu kepada batasan tertentu yang tidak sampai menyakiti hati orang lain. Allah murka dan merendahkan martabat golongan yang gemar bergurau secara keterlaluan selain mereka turut tidak disukai orang lain
Bergurau ada adabnya ye! (baco deh….jangan x baco)
a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a..w .
b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya dan ia juga bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
Ketawa memang seronok. Tapi menjadi bahan ketawa sangat menyakitkan hati. Hakikatnya, itulah yang selalu ada dalam sesebuah gurauan - mentertawakan orang lain.
Kita mungkin sekadar main-main, kata orang menyakat. Tapi, siapa tahu apa yang dirasai ‘watak utama’ kisah gurauan tersebut? Mungkin tak kisah, mungkin marah, mungkin kecil hati dan mungkin terus tak bertegur sapa.
Gurauan yang dianggap sekadar main-main boleh menjadi bibit kepada pergaduhan, pertengkaran, tak bertegur sapa dan permusuhan yang berpanjangan antara sesama Muslim. Begitu murahkah nilai persaudaraan dalam Islam sehingga kita sanggup menggadaikannya dengan kata-kata gurauan dan mainan yang langsung tiada nilai di sisi Allah?
Rasulullah S.A.W. sendiri telah memberi amaran dalam sabda baginda:
“Sesungguhnya orang yang berkata-kata dengan suatu perkataan untuk mentertawakan teman-teman duduknya, akan jatuh dalam api neraka, lebih jauh dari bintang surayya.”
c) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
d) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat- buat.
Sedarkah kita, ketika bergurau senda dengan rakan-rakan, kita mungkin dah berbohong? Berbohong bukan maksud saya betul-betul bercakap bohong. Tapi, hanya sekadar cakap main-main; atau kata orang sekadar mengacah saja.
Soalnya, betul ke kita tak boleh menipu walaupun dengan hanya niat untuk bergurau? Nama pun gurauan, jadi kita bukan berniat untuk betul-betul menipu, hanya sekadar main-main dan tak memudharatkan sesiapa. Dan biasanya, last sekali, kita mesti akan cakap,
“Aku main-main je la…”
“Aku tipu engkau je tadi. Saja nak tengok macam mana reaksi engkau.”
Kalau diikutkan logik akal pendek kita, mungkin pandangan tu nampak macam betul. Tapi, mari kita teliti sabda Rasulullah S.A.W. :
“Hendaklah kamu jujur. Sesungguhnya kejujuran menunjuk kepada kebaikan. Dan kebaikan menunjuk kepada syurga. Seorang lelaki terus jujur dan mencari kejujuran sehinggalah dia dicatatkan di sisi Allah sebagai seorang yang sangat jujur. Berwaspadalah terhadap dusta. Sesungguhnya dusta menunjuk kepada kejahatan. Dan kejahatan menunjuk kepada neraka. Seorang lelaki terus berdusta dan mencari pendustaan sehingga dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang sangat berdusta"
Apa pun tujuan kita, pendustaan sesekali tidak dibenarkan walaupun hanya untuk bergurau dan berjenaka. Islam mengharuskan gurau senda, keceriaan dan hiburan jiwa, tetapi tidak menjadikannya sebagai pembuka jalan kepada kita untuk berdusta.Jadi, kalau nak bergurau, pastikan gurauan kita tak ada unsur-unsur penipuan dan pendustaan. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.:
Maksudnya:
“Sesungguhnya aku bersenda gurau dan aku tidak mengatakan, selain yang benar.”
(Riwayat Ibnu Abid-Dun-ya dari Abu Hurairah)
e) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
f) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.
Rasulullah bersabda:
Maksudnya:
“Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati.”
(Hadis Riwayat Ahmad Tirmidzi)
Pernahkah anda lihat orang yang ketawa terbahak-bahak, sampai katanya nak pecah perut dan sampai tak cukup udara nak bernafas? Apa yang kita fikir? Pastinya orang tu baru saja lihat atau dengar satu jenaka atau gurauan yang sangat menggelikan hati. Betul tak?
Kita akan ketawa apabila ada sesuatu yang menggeletek hati. Ya, itu memang sesuatu yang normal. Tapi, hakikatnya, di situlah akan timbulnya masalah. Gurauan yang melampau-lampau akan menyebabkan kita banyak ketawa.Dalam Kitab Ihya’ Ulumiddin karangan Imam Ghazali, beliau menyenaraikan senda gurau sebagai salah satu unsur bahaya yang dibawa oleh lidah. Kata beliau,
“Asalnya senda gurau itu tercela dan terlarang, kecuali sekadar sedikit yang dapat dikecualikan daripadanya.”
Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W.:
Maksudnya:
“Jangan engkau berbantahan dan bergurau dengan saudaramu!”
Maksudnya:
“Sesungguhnya aku bersenda gurau dan aku tidak mengatakan, selain yang benar.”(Riwayat Ibnu Abid-Dun-ya dari Abu Hurairah)
Hakikatnya begitulah keadaan orang yang ketawa berlebih-lebihan. Larut dalam dunia ketawanya. Sampai lupa dan tak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Dan lebih parah lagi, ketawanya itu juga menunjukkan kelalaian dari mengingati akhirat.
Nabi S.A.W. bersabda:
Maksudnya:
“Jikalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya pasti kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim dari Anas dan 'Aisyah r.a.)
Menurut pandangan Islam, bergelak tertawa adalah tidak baik dan makruh hukumnya. Ibn Mas’ud meriwayatkan dari Auf bin Abdullah bahawa biasanya Rasulullah S.A.W. tidak tertawa melainkan senyum simpul dan tidak suka melerek, iaitu tidak menoleh, kecuali dengan semua wajahnya. Hadis itu menunjukkan bahawa senyum itu sunat dan tertawa berbahak- bahak adalah makruh. Maka itu seseorang yang sihat akal dilarang bergelak tertawa kerana mereka banyak bergelak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat. Orang yang banyak menangis di dunia mereka akan banyak tertawa di syurga. Menurut Yahya bin Muaadz Ar-razi, ada empat perkara yang menghilangkan tertawa seseorang Mukmin :-
(1) Kerana memikirkan akhirat
(2) Kesibukan mencari keperluan hidup
(3) Risau memikirkan dosa
(4) Apabila tibanya musibah dan bala.
Jika seseorang sibuk memikirkan perkara itu, maka dia tidak banyak tertawa kerana banyak tertawa bukan sifat seorang Mukmin. Seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a. “Sesiapa yang tertawa ketika membuat dosa, maka dia akan menangis ketika akan masuk neraka.”
Di sini SIM 5 membawakan contoh teladan yang boleh dipraktikkan in our daily life. Oleh itu, mari kita susuri sirah Nabi Muhammad S.A.W., bagaimana cara baginda bergurau senda dengan orang-orang di sekeliling baginda.
Suatu hari, seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah S.A.W., meminta tunggangan daripada baginda kerana hendak pulang ke negerinya. Apabila Nabi mendengar permintaan lelaki itu, baginda bersabda: “Sesungguhnya aku akan menunggangkanmu di atas anak unta.” Padahal, pada waktu itu Nabi berkata demikian hanya dengan tujuan untuk bergurau.
Apabila lelaki itu mendengar kata-kata Nabi, dia merasa susah hati kerana memikirkan bagaimana anak unta yang kecil dan lemah boleh ditunggang untuk perjalanan yang jauh. Lalu, lelaki itu berkata, “Apa yang boleh aku buat dengan seekor anak unta? Kalau kamu berikan pada aku, tentulah menjadi beban dan hanya menambahkan kesusahan saja, sebab ia masih kecil dan tidak boleh ditunggang.”
Maka Rasulullah S.A.W. berkata, “Adakah yang melahirkan unta itu selain daripada unta betina? Maka itulah yang mahu aku berikan kepadamu iaitu unta besar yang asalnya dilahirkan oleh ibunya.”
Lihat bagaimana cara Rasulullah S.A.W. menjaga adab-adab dalam bergurau senda. Baginda tidak sesekali menipu orang yang diajak bergurau, sebaliknya cara baginda ada ‘seninya’ yang tersendiri.
Ha!! Kita pun kenalah berseni ye kalau nak bergurau..hehehehe
Apa yang dapat kita perhatikan dalam kisah di atas dan beberapa kisah lain, Rasulullah menggunakan kaedah double meaning dalam gurauan baginda, iaitu satu kalimah tetapi mempunyai ataupun boleh difahami dalam dua maksud dan keadaan yang berbeza. Jadi, cara sebegitu akan mengelakkan kita daripada berbohong ketika bergurau.
Sayyidina Umar r.a. pernah berkata:“Tahukah kamu mengapa dinamakan gurau senda (al-muzaah) dengan kata-kata al-muzaah?” (maksud asal al-muzaah: alih)
Mereka itu menjawab: “Tidak!”
Maka Umar r.a. menjawab:“Kerana senda gurau (al-muzaah) itu, mengalihkan orang yang bergurau daripada kebenaran.”
Jadi, berwaspadalah kita dalam setiap gurauan dan kata-kata kita. Setiap apa yang dituturkan oleh kita akan dipertanggungjawabkan ke atas diri kita di akhirat kelak. Gurau senda mampu menghiburkan jiwa dan boleh mengeratkan hubungan sesama Muslim, tapi andai tidak kena caranya, gurau senda boleh melontarkan kita ke dalam azab neraka.. Na'uzubillahi min dzalik.
Oleh itu marilah sama-sama kita muhasabah diri dan kembali bertaubat kepada tuhan. Banyakkan menangis (kerana Allah) dari ketawa (yang sia-sia) itu adalah amalan yang lebih baik.
Penulis : Srikandi Islam Mesir 5
MAJULAH SIM 5 UNTUK GEN II
*Pesanan khas : Ini adalah artikel yang diberikan kepada kami dan ada diantara hadis-hadis yang di atas tidak diketahui riwayat siapa dan tidak sempat kami mengesahkan semuanya. Terima kasih kepada penghantar dan kepada pembaca harap buat "double cek" status hadis itu. Apa-apa pon ambilah yang baik dan buang yang tidak baik berdasarkan apa yang kita belajar dalam PQS atau PAI cara-cara mengambil imrah hadis.
rasanya pesanan khas tu tahu siapa yang sampaikan..hehe..yang artikel xdpt detect..btw nice job!!
ReplyDeletehaha... tol ke emir...???
ReplyDeletenh artikel tuk umum sahaja.... xberniat hendak sampaikan kepada sapa2..
Mantop!!!
ReplyDelete